Peserta ujibakat Imam Muda musim ketiga sudah bersedia
Memulakan sesi ujibakat menerusi laman Youtube, pencarian Imam Muda musim ketiga berakhir dengan selesainya ujibakat berpusat di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
Sesi temu duga selama dua hari di Institut Baitulmal, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan muda dari seluruh pelusuk negara termasuk Indonesia dan Thailand. Setelah mengikuti dua musim Imam Muda sebelum ini, rata-rata para peserta yang hadir sudah bersedia berhadapan dengan semua peringkat ujibakat.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar, “Kami amat kagum melihat kualiti peserta yang menghadirkan diri ke sesi temu duga kali ini. Biarpun pihak Astro Oasis hanya menjalankan ujibakat di Kuala Lumpur, sambutan para peserta tidak kurang hebatnya berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ujibakat secara online yang dijalankan sebelum ini turut membantu mempromosi kehadiran Imam Muda musim ketiga dan menggalakkan lebih ramai peserta untuk mengambil bahagian.
Berdasarkan kualiti hampir 1000 peserta yang hadir, kami amat optimis untuk melihat program Imam Muda musim ketiga sekali lagi mampu mencipta sejarah baru dalam dunia penyiaran.
Penglibatan bekas Imam Muda musim terdahulu dalam program ini termasuk pada peringkat ujibakat ternyata memberi impak bukan sahaja kepada program ini tetapi turut meningkatkan keyakinan para peserta. Mereka dilihat lebih yakin dan berani dalam menyampaikan tugasan dan memenuhi kehendak ujibakat.â€
Menceritakan tentang pengalaman kali pertama menghadiri sesi uji bakat Imam Muda, Muhammad Nasir, 25 tahun berasal dari Medan, Indonesia berkata, “Hasrat menyertai Imam Muda memang telah tertanam sejak musim pertama lagi namun ketika itu penyertaan masih belum terbuka kepada semua jenis warganegara.
Sehinggalah pada musim ini saya memberanikan diri untuk hadir ke sesi ujibakat untuk menimba pengalaman baru. Pastinya saya sentiasa berdoa dan berharap agar terpilih memasuki Imam Muda musim ketiga ini’â€
Ujibakat yang dijalankan itu terbuka kepada lelaki Muslim berumur 18 hingga 30 tahun samada warganegara atau bukan warganegara Malaysia digalakkan untuk turut serta dalam Imam Muda musim ketiga. Para peserta mestilah fasih berbahasa Melayu dan mempunyai latar belakang agama Islam yang baik.
Juara Imam Muda 3 bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 manakala Naib Juara akan membawa pulang RM 35,000. Tempat ketiga pula turut berpeluang memenangi RM15,000 sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM150,000 dan menjadikan hadiah wang tunai tertinggi yang ditawarkan bagi sebuah program keagamaan. Selain wang tunai, pemenang juga bakal membawa pulang pelbagai hadiah sampingan.
Hj Izelan menambah, “Kami berasa amat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap program ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Islam yang sekali lagi hadir hadir selaku penaja utama dan mengalu-alukan kehadiran Len Fa Medical Supplies (M) Sdn Bhd mempromosi produk Harwany – Pati Ikan Haruan selaku penaja bersama serta THR Gegar dan Sinar FM selaku radio rasmi. Sesungguhnya, kehadiran penajaan sebegini menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap program keislaman seumpama ini.â€
Turut diperkenalkan pada musim terbaru ini adalah pendekatan media baru dengan pelbagai aplikasi telefon pintar yang menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih dekat dengan para Imam Muda, Mursyid dan Mudir.
Penggunaan teknologi ini membolehkan peminat berinteraksi secara terus dan mengikuti perkembangan Imam Muda musim ketiga dengan lebih mudah di hujung jari mereka.
Imam Muda musim ketiga ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) pada bulan Mei ini. Butir-butir lanjut mengenai sesi uji bakat dan program ini akan diumumkan kelak.