in , ,

Perkahwinan 7 Tahun Berakhir, Nora Danish & Nedim Bercerai Talak Satu

DESAS-DESUS keretakan rumah tangga pelakon Nora Danish akhirnya terjawab apabila dia dan suami iaitu Nedim Nazri sah bercerai talak satu. Lafaz itu dilakukan oleh Nedim di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pukul 8.34 malam, Rabu.

Peguam syarie yang mewakili pelakon Nora Danish, Ahmad Badri Idris, mengagumi sikap positif dan kerjasama baik yang ditunjukkan oleh anak guamnya dan bekas suaminya, Nedim Nazri, dalam kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, malam tadi.

Menurut Ahmad Badri, prosiding cerai yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam berjalan dengan sangat lancar berkat kerjasama daripada kedua-dua pihak.

“Saya ingin tekankan bahawa kedua-dua pihak menunjukkan kerjasama yang sangat baik. Mereka juga adalah pasangan yang baik. Bayangkan, dalam saat yang sukar seperti ini mereka masih boleh hadir bersama. Ini bukan perkara mudah, kan? Jadi, kita doakan sahaja yang terbaik untuk mereka. Cara pengakhiran perkahwinan ini sangat baik dan penuh kerjasama. Saya rasa anak mereka mungkin tidak sedar bahawa ibu bapa mereka telah bercerai. Malah, kedua-dua pihak tidak menghadkan jagaan anak-anak, semuanya berjalan seperti biasa, cuma yang berbeza adalah mereka telah bercerai. Ia tidak mengganggu anak-anak,” katanya.

Ahmad Badri mengakui prosiding perceraian berlaku dalam masa singkat kerana kedua-dua pihak sangat positif. “Sudah tentu, untuk mendapatkan kerjasama baik, kita perlu pastikan semua isu sudah selesai. Kalau tidak, kita tidak mampu buat sedemikian. Mutaah, nafkah, dan edah juga tidak dibincangkan kerana ia adalah perkara ‘secondary’. Paling penting adalah ikatan. Namun, hadanah ada direkodkan. Buat masa ini, biarlah beri ruang dan doakan mereka. Selepas bercerai, ia bukan perkara mudah, ia ‘makan dalam’. Jadi, doakan mereka kekal sebagai kawan kerana mereka ada anak,” katanya.

Nora dan Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik melalui prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Selepas prosiding, Nora, atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengharapkan orang ramai mendoakan yang terbaik untuk mereka sekeluarga. Bagaimanapun, Nedim, atau nama sebenarnya Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, yang hadir tanpa peguam, enggan mengulas lanjut.

Nora, yang mengenakan jubah putih, hadir bersama Nedim dengan menaiki sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam pada jam 7.40 malam. Sebelum ini, pasangan ini dilihat gembira meluangkan masa bersama tiga anak mereka meraikan Hari Bapa baru-baru ini. Nora memuat naik momen indah bersama keluarga dalam Instagram Story (IGs) dipercayai sempena Hari Bapa pada 16 Jun lalu.

Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangganya dengan Nedim yang dibina sejak 2017 mengalami masalah. Nora mengakui dia dan Nedim berusaha menangani situasi tersebut sebaik mungkin agar tidak memberi kesan negatif kepada anak. Nedim kemudian menegaskan rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik dan hanya mengalami ‘gaduh-gaduh manja’. Dalam sesi ‘live’ Instagram, Nedim menyatakan bahawa dia masih sayangkan isterinya dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perceraian.

Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, berusia enam tahun. Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peminat B.I Berpeluang Memenangi Pelbagai Faedah Tambahan Menarik

Siri HONOR 200 Lancar di Malaysia, Harga Bermula Daripada RM1,899