Sedang hangat menjadi siulan di kalangan peminat setia mereka menerusi single terbaharu diberi judul Extravaganza, band indie Bunkface bakal muncul pada 16 Januari 2010 (Sabtu), jam 12.31 tengah hari menerusi program berbentuk travelogue popular Xpresi Kembara terbitan Unit Majalah Dan Dokumentari (HEA RTM) di TV1.
Episod perjalanan rekreasi bersama Bunkface bercuti di A’ Famosa Resort Melaka meluangkan masa ke World Safari A’ Famosa melihat binatang buas termasuklah buaya dan anak harimau dengan lebih dekat. Istimewanya peminat Shamsul Annuar Mohd Baharom (Sam), Ahmad Farhan Hasyim (Paan) dan Mohd Farouk Jaafar (Youk) berpeluang menyaksikan mereka menguji keberanian masing-masing untuk memegang binatang seperti ular sawa meskipun masing-masing sebenarnya ragu-ragu menyentuh haiwan mamalia itu pada mulanya. Malah salah seorang anggota band ini sanggup mencuba demonstrasi dipijak oleh gajah.
Kunjungan Bunkface ke destinasi taman tema terkenal di Malaysia, A’Famosa Water World pula menjanjikan momen-momen indah yang ingin dikongsi sama dengan peminat mereka. Apatahlagi bagi mereka yang belum berkesempatan singgah berseronok di tempat berhibur yang menjadi pilihan pengunjung dalam dan luar negara ini.
Khas untuk semua ketiga-tiga anak muda yang berasal dari Klang, Selangor ini bersedia untuk menggunakan sepenuhnya masa yang ada melakukan pelbagai aktiviti menghiburkan dan permainan air luar biasa yang belum pernah di cuba sebelum ini. Apatahlagi A’Famosa Water World menyediakan kemudahan taman tema yang lengkap dan sempurna untuk dijadikan tempat berhibur dan menyeronokkan setiap pengunjung.
Keseronokkan mereka berlibur membawa band yang turut mencipta nama menerusi lagu Situasi, Prompt Queen dan Revolusi ini mencuba pelbagai permainan lasak termasuklah paint ball dan menaiki kenderaan lasak di kawasan lapang untuk dikongsi sama peminat kesayangan mereka. Susuk tubuh mereka yang kecil tidak mematahkan semangat mereka mencuba permainan menarik ini sepanjang percutian mereka ke Melaka Bandar Bersejarah ini.
Kepada peminat Sam, Paan dan Youk juga peminat setia band indie usah lupa janji temu anda menyaksikan Bunkface beraksi pada 16 Januari 2010 (Sabtu), jam 12.31 tengah hari di TV1.
Untuk maklumat lanjut, foto dan info-info terkini tentang program Xpresi Kembara, sila layari facebook.com dan carian xpresi kembara.
Xpresi Kembara program yang menggabungkan elemen muzik band band indie ini dengan tempat tempat menarik di seluruh negara ini turut menyumbang kepada memajukan sektor pelancongan dalam negara di samping memberi ruang kepada peminat peminat muzik indie mengenali artis kegemaran mereka dengan lebih dekat lagi. Malah  memasukkan elemen penglibatan artis dengan persekitaran yang dilihat menyokong kempen Cuti-Cuti Malaysia yang diuar-uarkan pihak kerajaan.