in

Nizam dan Zilla Layak ke Pertandingan Akhir Bintang RTM

KOMEN JURI : SUARA VIBRATE KALANGAN PESERTA JEJASKAN PERSEMBAHAN PESERTA PERINGKAT SMS SEPARUH AKHIR BRTM 2009 AHAD LALU

”Nyanyian, suara dan persembahan bagus. Cuma kalau boleh jangan terlalu vibrate suara kerana ia menjejaskan keseluruhan persembahan.” Begitulah komen ringkas yang diberikan ketua juri, Johan Nawawi sewaktu memberikan pendapatnya tentang peserta-peserta yang bertanding menerusi Peringkat SMS Separuh Akhir Bintang RTM 2009 lalu.

Persaingan untuk merebut dua tempat ke Peringkat Akhir BRTM 2009 yang diumumkan Ahad lalu turut menyaksikan rezeki berpihak kepada Nizam dan Zilla, peserta kelahiran Sabah dan Kulim, Kedah yang sekaligus melengkapkan lapan tempat merebut gelaran Bintang RTM 2009.

Nyata perjalanan kedua-dua peserta untuk mencapai hasrat mengiringi enam peserta lain, Ernie, Fatin, Aina, Anna, Ikbal dan Adli yang terdahulu layak menempatkan diri berkongsi pentas akhir bukanlah mudah seperti yang disangka apabila masing-masing bertungkus-lumus dan memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap pertandingan ini untuk merealisasikan impian mereka itu.

Buktinya Nizam dan Zilla yang berkongsi pentas Peringkat SMS Separuh Akhir Bintang RTM 2009, jam 8.30 malam bersiaran secara langsung di TV2, 7 Jun 2009 (Ahad) lalu berjaya meyakini pihak juri terdiri daripada Ajai dan Sham Kamikaze selain Johan Nawawi yang menjadi ketua juri untuk mara ke peringkat akhir.

Nizam yang mempersembahkan lagu Harapan, nyanyian asal Fazli Zainal berjaya membawakan lagu ciptaan Hazami itu dengan lenggok gayanya yang tersendiri. Nyata percubaan anak muda berusia 22 tahun ini sekali lagi setelah kecundang di Peringkat Separuh Akhir BRTM 2007 yang lalu tidak sia-sia tahun ini.

Kegembiraan turut dikongsi sama Zilla yang muncul dengan mendendangkan lagu Setelah Aku Kau Miliki nyanyian Shima. Percubaannya membawakan lagu bernada tinggi yang popular sekitar tahun 1991 itu mendapat tepukan gemuruh penonton yang hadir ke Auditorium Perdana Angkasapuri yang rata-rata mengagumi kebolehan finalis berasal dari Kulim, Kedah ini.

Begitu pun saingan sengit menerusi lagu-lagu bernada tinggi turut diberikan empat peserta lain termasuk Ziana, Irsa, Reen dan Azwan. Ziana tampil menyanyikan lagu asal Jac Victor, Di bawah Pohon Asmara. Manakala Irsa pula membawakan lagu Memori Tercipta nyanyian Shila OiAM dan Reen mengalunkan suara menerusi lagu Lagenda nyanyian Ratu Jazz, Sheila Majid.

Namun satu-satunya peserta lelaki selain Nizam, Azwan yang muncul sebagai finalis pertama beraksi di pentas agak mengecewakan dengan lagu Malam yang dipopularkan oleh Kumpulan Kembara. Suaranya tenggelam dengan iringan muzik dan penghayatan juga seolah tiada yang juga boleh dijadikan punca anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini tidak menjadi pilihan juri.

Kemeriahan beraksi turut diselang-selikan dengan kehadiran dua artis undangan, The Fabulous Cats dan penampilan penyanyi terkenal, Jac Victor. Artis undangan malam itu beraksi dengan single terbaharu mereka, The Fabulous Cats mendendangkan lagu Ratu Novela dan Jac Victor dengan lagu Bertamu Di Kalbu.

Untuk mengetahui perkembangan terkini serta info-info peserta bertanding, usah ketinggalan melayari laman sesawang rasmi, www.bintangrtm.comdan radio rasmi Muzikfm di mana Pertandingan Bintang RTM 2009 ini sedang menuju puncak pertandingan akhir yang bakal berlangsung pada 28 Jun 2009 kelak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Liyana Jasmay di Konsert Jelajah 11 Era

Pelakon Shukery Hashim Meninggal Dunia