TV2 SIAR MUZIKAL KHAS HARI PONGGAL 2010 PADA 14 JANUARI 2010
Sambutan Hari Ponggal atau disebut masa menuai disambut seluruh masyarakat India di seluruh negara termasuk di Malaysia. Ia sambut setiap 14 Januari setiap tahun dan diraikan sepanjang empat hari berturut-turut dengan pelbagai sambutan yang meriah oleh penganut Hindu.
Dalam menyemarakkan sambutan perayaan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan Muzikal Khas Hari Ponggal 2010 bertajuk Ponggal Kuthoohalam pada 14 Januari 2010 (Khamis), jam 5.00 petang menerusi saluran Dunia Ria, TV2.
Tampil dengan situasi perpaduan dan situasi komedi bersahaja yang digunakan sebagai ‘link’ cerita dalam persembahan muzikal yang dihiasi dengan lagu popular yang dipersembahkan oleh penyanyi tempatan yang terkenal dan dimintai ramai, muzikal Ponggal Kuthoohalam menampilkan corak persembahan yang tertumpu pada kemeriahan sambutan perayaan, persahabatan dan setiakawan kejiranan yang berlaku di sebuah kampung.
Persembahan lagu dipenuhi dengan nyanyian dan tarian mengikut ‘mood’ perayaan Ponggal di mana persembahan muzikal diselitkan dengan situasi kehidupan seharian.
Di ketengahkan watak Sita yang menceritakan akan kemeriahan sambutan perayaan Ponggal kepada kawan baiknya, Rohani dan Swee Ang hingga mereka teramat sangat untuk merasai dan melihat sendiri akan sambutan perayaan Ponggal di kampung Sita. Jadi, mereka bertolak ke kampung Sita dan melihat sendiri akan adat resam dan upacara sambutan perayaan Ponggal yang begitu meriah sekali.
Manakala ayah Sita, Kandasamy bertengkar dengan jirannya, Ramaya. Situasi itu berpunca kerana perebutan hak ‘anak’ lembu yang di lahirkan oleh lembu betinanya. Ramaya menimbulkan isu hak kerana tanpa lembu jantannya, lembu betina tidak dapat beranak yang menyebabkan keadaan jadi riuh sekampung.
Pada masa yang sama abang Sita bercinta dengan anak perempuan Ramaya yang menyebabkan hubungan mereka ‘terganggu’ dengan pertengkaran kedua orang tua itu.
Begitu pun dapatkah hubungan ini disatukan setelah isu hak ‘anak lembu’ menimbulkan perbalahan sesama mereka? Adakah sambutan Hari Ponggal yang disambut tahun itu berjaya merubah situasi tegang yang timbul?