in

Keputusan Penuh Senarai Pemenang Anugerah Industri Muzik 18

Keputusan Penuh Senarai Pemenang Anugerah Industri Muzik 18

Setelah berminggu-minggu mengadakan roadshow dan promosi, kini kehangatan AIM18 semakin dapat dirasai menjengah malam ini di mana semua pemenang AIM18 akan diumumkan di Stadium Putra, Bukit Jalil pada tarikh keramat malam ini 12 November 2011. Budiey percaya ramai yang ingin tahu keputusan penuh anugerah berprestij yang meraikan dan menghargai karyawan muzik tanahair ini.

Secara peribadi, Anugerah Industri Muzik ke-18 masih lagi dinantikan peminat muzik kerana aura dan tarikan tersendiri masih bersisa. AIM adalah kemuncak pengiktirafan buat karyawan seni muzik tempatan. Lupakan seketika dengan isu penjualan album di Malaysia yang merudum jatuh, isu mutu lagu dan album di Malaysia yang tak maju-maju dan macam-macam lagi kerana malam ini adalah malam untuk meraikan semua yang terlibat.

Apa pun isu yang melanda, AIM kali ke 18 ini menerima telah menerima banyak sekali pencalonan yang mana paling banyak dalam sejarah AIM!

AIM18

Sekurang-kurangnya, penat lelah dan jerh perit artis dan orang seni kita diangkat martabat dan semua kerja mereka yang mana terbaik itu diiktiraf. Itu sebenarnya tujuan AIM diadakan. Bukan untuk mencari siapa yang lebih popular tapi AIM ingin menyelongkar siapa yang terbaik daripada yang terbaik mengikut ukuran dan firasat juri yang lebih profesional.

Banyak perubahan dalam AIM-18 kali ini gara-gara pertambahan penghasilan lagu berbanding album dan antara perubahan tersebut termasuk pengurangan 10 kategori menjadikan AIM tampil dengan 18 kategori selain tidak membenarkan karya pemuzik luar. Pergh dahsyat!

AIM18

Panel juga sebulat suara untuk memansuhkan kategori Lagu Hip Hop Terbaik kerana kekurangan penyertaan yang menepati kriteria membawa kepada pengurangan jumlah keseluruhan kategori dari 19 kepada 18. Senarai nama juri AIM kali ini juga disiarkan bagi pengetahuan umum.

Dihoskan oleh Zizan Raja Lawak dan AC Mizal yang mana bagi Budiey kedua-dua dari mereka bijak untuk buat penonton ketawa dengan lawak jenaka mereka. Rasanya, jika Zizan digandingkan dengan Johan, mmm… lagi lawak kot. Bosan atau tidak? Apa kata korang yang tonton di rumah? Yang penting, Budiey mahu pengisian AIM ini diisi dengan lawak jenaka yang bijak bukan untuk memperbodohkan penonton atau hos sendiri. Asalkan segala yang diatur itu berjalan lancar, itu dah kira satu kejayaan.

AIM18

Berdasarkan kepada 18 kategori yang dipertandingankan, tidak dinafikan terdapat beberapa kategori yang dinantikan antaranya Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Lelaki, Wanita, Berkumpulan serta Lagu Pop Terbaik.

Dari segi pencalonan, penyanyi Aizat mengungguli enam pencalonan bagi enam kategori termasuk Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM-18). Aizat yang mendominasi hampir kesemua kategori utama menerusi album ‘Utusan Aizat’ dicalonkan bagi kategori Kulit Album Terbaik (Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd), Rakaman Album Terbaik (Pereka Keith Yong dan Nick Lee), Video Muzik Terbaik (Ahmad Farish) menerusi lagu ‘Susun Silang Kata’, Lagu Pop Terbaik (Sungai Lui), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Years From Now) dan Album Terbaik (Kasi Gegar Entertainment).

Ning Baizura dengan lima pencalonan menerusi album terbarunya ‘Dewa’ dan album duet bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah, menerusi album ‘Tiga Suara’. Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Yuna, Najwa Mahiaddin, masing-masing mendapat empat pencalonan pada anugerah tersebut.

AIM2011

Yuna menggondol tiga anugerah iaitu Lagu Terbaik, Persembahan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu (Penakut) dan Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlangnya di Amerika Syarikat.

Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid pula dinobatkan sebagai penerima anugerah Album Terbaik menerusi The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid. Tahniah! Budiey dah dengar album ini dan sangat berpuas hati.

Penyanyi yang juga anak menteri, Najwa membawa pulang dua anugerah iaitu Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi Got To Go dan Artis Baru Terbaik menewaskan calon popular lain seperti James Baum dan Reza Salleh.

Dalam pada itu, kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dimenangi oleh Anuar Zain dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) dimenangi oleh trio 3 Suara, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah melalui gandingan mereka di dalam Beribu Sesalan.

ANUGERAH INDUSTRI MUZIK (AIM) KE-18

Kumpulan 6ixth Sense sekali lagi menjulang trofi Artis Mobile Terbaik Celcom di mana tiada pencalonan dalam kategori ini kerana ia berdasarkan lagu mana yang paling banyak dimuatturun. Hasilnya, kumpulan 6ixth Sense antara artis yang paling banyak mendapat keuntungan dari hasil muaturun sebanyak lebih 1.8juta muaturun. Namun, jumlah sebenar hasil muaturun adalah lebih dari tu sebab sekarang dah cecah 4 juta. Ini menunjukkan lagu 6ixth Sense semuanya digemari oleh peminat muzik. Tahniah untuk 6ixth Sense.

Penerima anugerah lain adalah Adibah Noor untuk Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Rock Terbaik diterima oleh kumpulan APIMelalui lagu Pelita. Anugerah Sri Wirama AIM18 diberikan kepada bekas Timbalan Pengarah Kanan EMI Music Asia Tenggara dan pengasas Pelindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP), Beh Suat Pheng atas sumbangannya selama lebih 35 tahun di dalam industri muzik Malaysia.

Antara penyampai anugerah AIM18, Nora bersama Sarimah Ibrahim menyampaikan pemenang bagi Anugerah Artis Terbaik & Lagu Pop Terbaik. Iwan dan Ramlah Ram menyampaikan anugerah kepada untuk Anugerah kumpulan Nasyid Terbaik. Miss Universe 2004 Andrea Fonseka dan Sham menyampaikan anugerah untuk kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik yang diperkenalkan 2 tahun yang lepas dan juga anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu.

AIM18

Anugerah seterusnya, Lagu Rock Terbaik disampaikan oleh Amy Search. Neelofa bergandingan dengan pengarah Syamsul Yusof menyampaikan Video Muzik Terbaik. Reza, Adi dan Dina Nadzir mengumumkan keputusan untuk Pemenang Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara yang dimenangi oleh Rossa dengan lagu Ku Menunggu.

Persembahan daripada Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Jaclyn Victor mendapat tepukan gemuruh dari penonton. Begitu juga dengan persembahan Hafiz (Awan Nano), Nashrin (Fobia Cinta), Salma (Aku Permata) dan Stacy (Kasanova). Turut diterbangkan khas dari Indonesia, grup Padi yang mendendangkan lagu tema Upin Ipin – Sahabat. Mawi dan Akhil Hayy turut menghiburkan dengan lagu terbaru mereka.

Slot lagu zaman 90an pula memang meremang bulu roma budiey. Persembahan Ezad mendendangkan Mengintai Dari Tirai Kamar seakan ditunggu penonton. Ya, lagu nostalgia kan? Suka Suka! Begitu juga dengan lagu Bayangan Gurauan dari Rahmad Mega. Ally AXL nyanyi lagu Akulah Kekasihmu. Diakhiri dengan nyanyian Zamani Slam. Memang best! Layan sampai habis lagu diorang.

AIM18

Persembahan kemuncak mungkin diberikan untuk penyanyi muda Youtube Malaysia, Najwa Latif yang akan disaingkan dengan artis Youtube Antarabangsa, Greyson Chance. Terpukau juga dengan bakat yang ada pada remaja ini. Rasanya lebih baik dari Justin Bieber sebab Greyson Chance memang membawa lagu dengan soul dan vokal yang buat kita bersemangat untuk dengar. Enjoy.

Tahniah buat pengarah muzik AIM18 yang diketuai oleh Datuk Ramli MS. AIM 18 – 2011 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), jam 9 malam.

Karya yang layak menyertai pertandingan ini ialah bagi tempoh penghasilan bermula 1 Januari 2010 hingga 30 Jun 2011.

Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Industri Muzik ke-18. Sehingga kita jumpa lagi di edisi ke 19 pula.

  1. Artis Baru Terbaik: Najwa
  2. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu: Ning Baizura, Jacyln Victor, Shila Amzah – Beribu Sesalan
  3. Lagu Rock Terbaik: Lagu: Pelita /Komposer: Loque /Artis: API
  4. Lagu Pop Terbaik: Lagu: Sedetik Lebih /Komposer: Edry Abdul Halim /Artis: Anuar Zain
  5. Lagu Pop Etnik Terbaik: Lagu: Joget Tak Senang Hati /Artis: Adibah Noor
  6. Lagu Nasyid Terbaik: Lagu: Pedoman /Artis: Nora Feat V.O.U
  7. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Lagu: You Got To Go /Artis: Najwa
  8. Video Muzik Terbaik: Lagu: Susun Silang Kata /Artis: Aizat Amdan /Pengarah: Ahmad Farish
  9. Lagu Bahasa melayu Terbaik Yang Di Persembahkan Oleh Artis Luar Negara: Lagu: Ku Menunggu /Komposer: Mery LC /Artis: Rossa
  10. Anugerah Kembara: Yuna
  11. Anugerah Sri Wirama: Beh Suat Pheng
  12. Artis Mobile Celcom Terbaik: Sixth Sense
  13. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Anuar Zain – Sedetik Lebih
  14. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Yuna – Penakut
  15. Lagu Terbaik: Yuna – Penakut
  16. Album Terbaik: Album: The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid /Artis: Sheila Majid.
  17. Artis Mobile Terbaik Celcom: 6ixth Sense
  18. Anugerah Kembara: Yuna

Sekali lagi, tahniah kepada semua pemenang!

AIM18

AIM18

AIM18

AIM18

AIM18

AIM18

AIM18

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Diana Danielle Hos Karpet Biru AIM18

Photo Greyson Chance di Anugerah Industri Muzik 18