in , ,

Kenapa Ramai Marah Bruno Mars Bikin Konsert di KL Pada 17 September?

Bintang antarabangsa Bruno Mars bakal mengadakan konsert besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 September akan datang.

Pengumuman ini telah dimuat naik oleh penganjur, Live Nation Malaysia, di laman sosial mereka, mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik tempatan.

“Bruno Mars bakal berkunjung ke Kuala Lumpur pada 17 September ini. Tidak sabar untuk merasai pengalaman 24K Magic secara langsung,” tulis Live Nation, menggambarkan suasana yang bakal dirasai oleh peminat.

Bruno Mars, atau nama sebenarnya Peter Gene Hernandez, yang kini berusia 39 tahun, akan mengadakan persembahan di Malaysia selepas dua malam konsert di Indonesia pada 13 dan 14 September. Konsert ini merupakan sebahagian daripada jelajah globalnya yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia.

Kenapa Ramai Marah Bruno Mars Bikin konsert di KL 17 September?

Walau bagaimanapun, ketika melihat ruangan komen di media sosial, terdapat beberapa peminat yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan mengkritik kedatangan penyanyi lagu popular “Just The Way You Are” itu ke Malaysia. Ini kerana Bruno Mars dikenali sebagai penyokong Zionis, yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan peminat. “Bruno Mars seorang penyokong Israel. Jadi, saya tidak akan datang konsertnya,” tulis seorang pengguna Instagram.

Ada juga yang mencadangkan pemboikotan konsert tersebut sebagai tanda protes. “Kalian semua, tolong boikot. Kita tolong dengan tidak menghadirkan diri ke konsert supaya kita ada peluang lebih untuk mendapatkan tiket,” tulis seorang peminat lain dengan nada sinis.

Kontroversi ini bertambah hangat apabila mengimbas kejadian pada Oktober tahun lalu, di mana pemenang 15 trofi Grammy itu meluahkan rasa kecewa apabila konsert keduanya yang dijadualkan di Tel Aviv, Israel terpaksa dibatalkan ekoran peperangan yang melanda wilayah tersebut.

Mars yang pada masa itu masih berada di Israel, terpaksa meninggalkan negara tersebut dengan menaiki penerbangan terawal menuju Athens, Greece bersama 60 petugas konsertnya. Peristiwa ini menambah lagi perdebatan di kalangan peminat tentang pendirian politik Bruno Mars dan kesan terhadap karier muziknya.

Meskipun begitu, konsert Bruno Mars di Kuala Lumpur tetap dinantikan oleh ramai peminat setia yang ingin menyaksikan kehebatan persembahan secara langsung dari penyanyi berbakat ini. Ia dijangka menjadi salah satu konsert terbesar tahun ini, dengan penjualan tiket yang pantas dan sambutan yang meriah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Journey Awie Bakal Berlangsung di WTC Kuala Lumpur Pada 3 Ogos Ini

Itu Tak Benar! Ogy Nafi Dakwaan Rujuk Semula Dengan Eman Manan