MENYINGKAP KISAH SRIKANDI, PERJUANGAN JIHAD DAN KAUM YAHUDI & BANI ISRAEL
Jika kurma dan pasar malam merupakan penyeri sambutan Ramadan, begitu juga dengan program di TV3, Jejak Rasul yang menjadi santapan rohani setiap kali menjelangnya bulan yang mulia ini. Jejak Rasul mula diperkenalkan pada tahun 1995 di TV3 merupakan program dokumentari berbentuk ilmiah yang popular di mana ia menjejaki peninggalan para Rasul dengan memaparkan pperistiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan 25 Rasul.
Istimewa untuk musim ke-16, Jejak Rasul melangkah setapak lagi dengan menampilkan sedikit kelainan melalui paparan “Trilogi Suara Kebenaran†yang menampilkan kisah-kisah srikandi, Jihad, Yahudi & Bani Israel di dalam sejarah Islam.
Bakal menemui penonton TV3 sepanjang bulan Ramadan ini, bermula 11 Ogos 2010 (1 Ramadan 1431) jam 6.00 petang (Isnin – Ahad), ’Jejak Rasul 16: Trilogi Suara Kebenaran’, dokumentari sejarah berkonsep ‘travelogue’ merupakan penghasilan semula siri Jejak Rasul 1, namun kali ini pengisiannya lebih segar dan berinformatif selaras dengan arus semasa.
Siri 30 episod ini akan membawakan kisah bersumberkan Al-Quran dan Sunnah disokong dengan fakta dan kajian ilmiah disampaikan oleh pengacara berwibawa, Hajjah Ezzah Aziz Fawzy (srikandi) serta Mohd Sidek Majin (jihad) dan Mohd Fasil Mohd Idris (Yahudi & Bani Israel), bertindak sebagai pengantara mengendalikan 3 segmen berlainan merangkumi 10 episod setiap satu.
Majlis pelancaran Jejak Rasul 16 berlangsung di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama menerusi program bual bicara popular, Wanita Hari Ini (WHI) dan telah disempurnakan oleh Y.B. Senator Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Turut hadir pada majlis ini adalah Dato’ Sri Farid Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd. dan Pn. Nurul Aini Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9.
Menariknya, segmen Jejak Rasul 16 telah dibahagikan kepada 3 bahagian (trilogi) di mana 10 episod pertama akan mengupas sejarah perjuangan dakwah dan juga usaha-usaha mengembangkan syiar Islam di samping memberi kesedaran tentang kepentingan dan kekuatan kaum Hawa menerusi paparan menarik tokoh-tokoh seperti Siti Khadijah Binti Khuwailid, Siti Fatimah Az-Zahraa’, Fatimah Binti Al Khattab, Siti Aisyah Binti Abu Bakar dan ramai lagi.
Di bawah arahan Mazlin Nordin sebagai pengarah/penerbit segmen srikandi, para penonton bukan sahaja berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat tokoh- tokoh wanita Islam dari zaman dahulu dan sumbangan besar yang diperolehi hasil daripada pengorbanan dan usaha murni mereka, malah kita juga berpeluang berkongsi pengalaman dan pengembaraan Hajjah Ezzah sewaktu menjalani rakaman program hampir sebulan.
Antara kisah menarik ialah pertemuan unik dengan salah seorang ikon tersohor di bumi timur tengah, Permaisuri Loulwah Al Faisal, puteri kepada mendiang Permaisuri Effat Al-Thunayyan yang merupakan pengasas kepada Universiti Effat di Jeddah, institusi pengajian tinggi terkenal yang ditubuhkan khas untuk kaum Hawa yang menyediakan platform ‘bebas’ dan tidak terkongkong sebagai inisiatif untuk menyokong dan menekankan pembangunan minda dan potensi semua pelajar-pelajar Wanita Muslim.
Turut dipaparkan dalam musim ini ialah kisah-kisah penuh pengajaran mengenai erti perjuangan jihad dan rasional agama Islam yang membenarkan peperangan sebagai satu inisiatif demi menegakkan syiar Islam di dalam segmen kedua.
Menerusi 10 episod seterusnya, Penerbit Muhamad Amin Yusoff dengan bantuan Abdullah Sidek Majin sebagai pengantara akan cuba menjelaskan objektif serta konsep jihad dan gambaran situasi yang membenarkan pertempuran sebagai benteng terakhir untuk memelihara kesucian agama dan nyawa umatnya. Ikuti perjalanan mereka melawat ke lokasi sebenar medan pertempuran, temubual khas bersama tokoh sejarah membincangkan tentang peristiwa peperangan yang penting seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perjanjian Hudaibiyah dan banyak lagi dengan harapan dapat menangkis tanggapan negatif ramai yang mengatakan agama Islam tersebar melalui mata pedang.
Segmen terakhir pula mengajak para penonton untuk mendalami kisah asal-usul dan perkembangan kaum Yahudi dan Bani Israel agar kita dapat membezakan gambaran buruk atau impak sesuatu kaum dengan mata hati sendiri. Sebagai penerbit segmen ketiga ini, Mohd Fasil Mohd Idris mengupas konflik di Palestin, pemahaman terhadap erti istilah Israel, Yahudi dan Zionis menerusi 10 episod seterusnya.
Tidak ketinggalan, para penonton juga berpeluang mempelajari semula sejarah kaum Yahudi dan agamanya yang muncul ketika zaman Nabi Musa A.S. di Mesir. Bukan itu sahaja, pastinya ramai di antara kita yang terlupa bahawa Israel sebenarnya adalah gelaran kepada Nabi Yaakob A.S. salah seorang daripada 25 rasul yang wajib diketahui. Keturunan Nabi Yaakub pula digelar sebagai Bani Israel.
Segmen ketiga juga sedikit-sebanyak memberi penerangan mengenai konflik identiti puak Zionis, satu ideologi politik yang tersebar di kalangan penganut Yahudi pada akhir abad ke 19.
Jejak Rasul kali ini mendekati golongan Yahudi yang berfahaman Zionis serta kelompok Yahudi yang menentang ideologi Zionis itu bagi memberi gambaran yang jelas tentang pergolakan di antara dua kumpulan yang sememangnya berbeza aliran dan fahaman. Sepanjang berada di Baitulmaqdis dan Hebron, kru Jejak Rasul 16 sempat merakamkan visual dan pengalaman langsung penderitaan warga Palestin dan nasib buruk yang menimpa selama lebih setengah abad berada di bawah cengkaman Yahudi Zionis.
Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif Jejak Rasul 16 menegaskan, “Sejak mula bersiaran lebih 15 tahun dahulu, program Jejak Rasul terus memberi impak yang amat berkesan kepada penonton dan industri dalam sejarah dokumentari berbentuk ilmiah. Tidak hairanlah kenapa siri pengenalan Jejak Rasul ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan saban tahun dan telah menerima beberapa anugerah di dalam bidang penyiaran tempatan dan diiktiraf antarabangsa. Meneruskan tradisi dengan menyajikan hanya yang terbaik untuk para penonton setia kami, kesinambungan Jejak Rasul diteruskan di mana misi dan visi kali ini bertujuan untuk membuka minda di samping memberi gambaran dan fakta yang benar tentang agama Islam dan sejarahnya, sekaligus dengan harapan dapat sedikit-sebanyak menyangkal dan mengurangkan persepsi buruk dan negatif orang ramai terutamanya mereka yang agak terikat dengan ‘racial profiling’ dan terpengaruh dengan sumber ataupun rujukan yang tidak boleh dipercayai.â€
“Secara dasarnya, faktor utama punca kepada perbalahan dan krisis perang skala global berpunca daripada pergolakan budaya dan agama yang telah digembar-gemburkan sejak berabad lamanya. Kami bersyukur dan berbangga kali ini program Jejak Rasul 16 akan disiarkan serentak bersempena bulan puasa bukan sahaja di negara kita sendiri, malah akan turut ke udara di Indonesia dan Brunei. Ini bermakna pendedahan dan paparan yang ditonjolkan dapat dikongsi dan difahami bukan sahaja oleh para penonton TV3 tetapi hampir sebilangan besar penduduk di Asia. Oleh itu, tema atau subjek utama Jejak Rasul musim ini Trilogi Suara Kebenaran harus diberi keutamaan dan perhatian oleh setiap lapisan masyarakat, supaya mesej dan falsafah yang hendak disampaikan dapat difahami dan seterusnya menjadi amalan kehidupan harian kita semua,†ujar Zainal lagi.
Bersesuaian dengan lokasi pengambaran yang bersejarah, warna kehidupan masyarakat tempatan juga akan turut dipaparkan merangkumi latar belakang sejarahnya, budaya serta bahasa termasuklah pemandangan indah dan suara rakyat tempatan menerusi lokasi-lokasi yang dilawati sepanjang pengembaraan Jejak Rasul 16 seperti negara Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Syria.
Selain daripada pengarah khas untuk ketiga-tiga segmen yang dipaparkan, sidang produksi yang menjayakan Jejak Rasul 16 terdiri dari Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif, Ahmad Kamaludin Zabaai merangkap penasihat program dan turut dibantu oleh Shadiya Abbas (hos Haiwan Teladan) bertindak sebagai penyelidik/wartawan penyiaran dan Jebat M.Rosli bersama Muhammad Shahril Abdul Rani sebagai jurukamera Jejak Rasul kali ini.
Khusus buat penonton setia TV3, pastikan petang anda terisi sepanjang bulan Ramadan ini dengan menonton Jejak Rasul 16 “Trilogi Suara Kebenaranâ€, bermula 11 Ogos 2010 bersempena 1 Ramadan 1431, Rabu, jam 6.00 petang.