Berita terbaru, komposer & penyanyi lagu irama ketuhanan, Hafiz Hamidun akan mengadakan persembahan di Konsert Zikir Terapi Diri pada 14 November 2012 ini di Dewan Perdana Felda jam 8 malam.
Budiey rasa elok juga konsert irama ketuhanan ini diadakan pada tarikh 14 November di mana kalau diikutkan tarikh malam tahun baru Hijrah. Sekurang-kurangnya, ada pengisian berguna di mana kita diajak untuk mengingati Yang Esa berbanding dengan hiburan yang melalaikan.
Satu sidang media akan berlangsung pada hari esok untuk mengumumkan tentang konsert yang bakal mengumpulkan peminat Hafiz Hamidun seluruh negara. Oh ya, esok juga Budiey akan menghadiri Sidang Media Anugerah Industri Muzik yang ke-19. Budiey pun tak sabar nak tengok senarai pencalonan AIM19.
Hafiz Hamidun juga turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik Ke-19. Budiey dengar-dengar, Hafiz Hamidun dicalonkan dalam kategori Rakaman Album Terbaik dan Lagu Nasyid Terbaik. Tapi untuk mendapat kepastian, segalanya akan diwar-warkan di sidang media AIM19 esok.
Bercakap pasal konsert Zikir Terapi Diri ini, Budiey kira konsert ini adalah kemuncak atau klimaks serta sebagai simbol kejayaan penjualan album Zikir Terapi Diri yang telah menjangkau 60 ribu unit. Satu angka yang besar untuk sebuah album berbentuk ketuhanan di zaman industri muzik yang kian tenat ini.