MEMECAH REKOD PEMBUKAAN TERBESAR AIDILFITRI INI!
Tahniah Budiey ucapkan!
Filem Senario the Movie Episod 1 terbitan MIG dengan usahasama Grand Brilliance dan GSC mencatat satu sejarah baru dalam industri perfileman Malaysia apabila bakal ditayangkan menerusi 68 salinan seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura. Rekod ini berjaya dicatat Senario The Movie Episode 1 ekoran minat dan keyakinan pihak pawagam terhadap filem ini mampu memikat penonton. Bebarapa pawagam utama di Malaysia turut menempah 2 salinan setiap lokasi bagi memastikan penonton yang datang akan memperolehi tiket. Sebelum ini rekod pembukaan terbesar dicatatkan filem Congkak dengan jumlah 65 salinan.
Bagi En. David Teo yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MIG dan juga penerbit, beliau yakin dengan pengalaman menerbitkan hampir 30 filem dengan sentuhan pengarah terkenal Ahmad Idham dan menampilkan kumpulan pelawak nombor satu di Malaysia sejak 13 tahun, Senario The Movie Episode 1 adalah sebuah filem yang lain dari yang lain. Ditambah pula dengan aplikasi Sistem Surround Digital EX (SRD) buat julung kalinya untuk filem-filem membabitkan Senario.
Lebih istimewa lagi, penonton akan dapat melihat aksi Senario melakonkan babak-babak menarik yang diadaptasi dari filem-filem box office seperti Jangan Pandang Belakang, Remp-it dan Impak Maksima. Filem ini memaparkan kisah 3 ahlinya sebelum bergelar Senario.
Menelan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM1.65 juta, Senario The Movie Episode 1 ini telah menjalani pengambaran di sekitar Lembah Kelang, Kedah dan Perak. Lokasi dipilih bagi menghidupkan jalan cerita di mana ia mengisahkan kehidupan realiti anggota Senario iaitu Azlee, Wahid dan Mazlan sebelum mereka menjadi terkenal. Itulah yang menjadi keistimewaan filem Senario kali ini adalah apabila ia cuba membongkar kehidupan sebenar ahli kumpulan Senario ini sebelum mereka menjadi popular. Kita mungkin kenal mereka selepas popular tetapi apakah pekerjaan dan kehidupan sebenar mereka sebelum itu belum pernah dipaparkan lagi di mana-mana filem atau program televisyen.
Bagi memantapkan penceritaan filem ini, beberapa pelakon hebat tanah air diundang khas untuk menjayakannya seperti Fauziah Nawi, Zul Huzaimi, Julia Hana, Zaidi Omar, Piee, Zaibo, Illya, Ropi Cecupak, Osman Kering, Eizlan Yusoff dan Shamsul Ghau-Ghau.
Senario The Movie: Episod 1 akan menggeletek penonton di pawagam seluruh Malaysia pada Aidilfitri 2008 ini.
Filem lain terbitan Metrowealth (MIG) yang bakal menemui penonton penghujung tahun ini adalah Selamat Pagi Cinta arahan Norlianan Samsudin pada 20 November 2008. Manakala filem Syurga Cinta dan Brainscan: Aku dan Topi Ajaib arahan Ahmad Idham akan ditayangkan penghujung tahun ini, dan Jangan Tegur arahan Pierre Andre pada awal 2009. Selain itu, MIG juga mengedarkan filem Tipu Kanan Tipu Kiri (16 Oktober), Wayang (13 November) dan Los & Faun (4 Disember 2008).Â