MARI ME’NGORAT’
Perlukan tips untuk memperoleh cinta? Pernahkah menyimpan perasaan terhadap seseorang tapi tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya? Jikalau anda menjawab ya kepada kedua-dua soalan tersebut, ‘Ngorat’, filem akan datang keluaran Grand Brilliance adalah filem untuk anda.
Peminat Aaron Aziz telah memuat naik lagu tema filem Ngorat – Selama Ini. Sekali dengar, suaranya persis Aaron Aziz tapi melalui sumber yang Budiey baru dapat, lagu filem Ngorat – Selama Ini dinyanyikan oleh pendatang baru bernama T.I:
Lagu Tema OST : Ngorat – Selama Ini Nyanyian Aaron Aziz
Ijam merupakan seorang jejaka solo yang kurang bernasib baik dalam mencari pasangan sehinggalah dia bertemu dengan seorang guru cinta yang menjanjikannya boleh bertemu jodoh dalam 30 hari sekiranya Ijam menurut petua-petua yang diberikannya. Tapi apabila petua-petua yang diberi tidak menunjukkan hasil, malah membahayakan persahabatan Ijoe dengan teman baiknya, Kira, Ijam harus mencari kekuatan untuk memilih samada untuk terus mendengar petua si guru cinta atau persahabatannya dengan Kira akan putus buat selamanya.
‘Ngorat’ akan membawa kembali salah seorang pelakon wanita terhebat Malaysia, Erra Fazira yang telah lama sunyi dari layar perak disamping pelakon muda berbakat besar, Iedil Putra yang juga merupakan watak utama dalam rancangan bersiri terbaru 8TV, Projek Pop. Turut membintangi filem ini adalah jejaka idaman Malaya, Aaron Aziz yang membawa watak sebagai Arjuna Kasih, watak yang jauh berbeza dari watak-watak yang pernah didukung beliau sepanjang kerjayanya di dalam industri perfileman.
“Kami ingin mencipta watak yang berkait rapat dengan realiti kehidupan kebanyakan lelaki di luar sana yang buntu apabila ingin memulakan langkah dalam percintaan,” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin ketika ditanya akan pemilihan ‘Ngorat’ sebagai filem Grand Brilliance.
“Sekurang-kurangnya penonton juga dapat bertukar angin dengan filem yang berbeza genrenya dengan filem-filem lain yang banyak dihasilkan tahun ini,” beliau menambah lagi.
Berlatar-belakangkan kota Kuala Lumpur, ‘Ngorat’ diharap akan memberi warna dan nafas baru pada industri perfileman tempatan. Filem ini juga diklasifikan ‘U’ untuk tontonan umum dan sesuai bagi setiap lapisan masyarakat. Jadi jangan lupa temujanji anda dengan ‘Ngorat’ bulan Julai ini!