SITKOM POPULAR KEMBALI DALAM MUSIM KETIGA
Sitkom popular ”FARA” yang mula diperkenalkan pada 13 Febuari 2007, menyingkap kisah seorang juruhebah radio, Fara yang dilakonkan oleh Fara Fauzana kini kembali menceriakan malam anda apabila ia kembali muncul dengan musim ketiga. Sitkom hasil arahan Aziz M. Osman dan diterbitkan oleh Ace Motion Sdn. Bhd. ini mempunyai 13 episod dan bakal menemui penonton setia TV3 setiap Selasa jam 10.00malam mulai 11 November 2008.
FARA masih mengekalkan pelakon-pelakon utamanya yang dibintangi oleh Fara Fauzana, Mohd Kardanie Anwa (Danny), Pushpa Narayan dan Jason Chong. Namun bagi memeriahkan lagi sitkom ini Fahrin dan Jue Aziz diperkenalkan dalam musim baru siri ini.
Jika musim sebelumnya, sitkom ini sering memaparkan persengketaan antara Fara dengan Din JJ, namun musim ketiga ini memaparkan plot drama yang lebih menarik apabila peminat-peminat sitkom ini bakal menyaksikan kisah cinta pula. FARA musim baru akan menyaksikan kemelut percintaan tiga segi antara Fara, Hisyam ( Fahrin Ahmad) dan Diana (Jue Aziz). Panas FM menjadi kecoh apabila syarikat bapa Diana telah membeli saham stesen radio tersebut dan Diana mula campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran. Peperangan bakal mencetus di Panas FM!
Segalanya bermula dengan kesibukan perancangan konsert sempena menyambut ulang tahun Panas FM yang ketiga. Sebuah syarikat korporat berminat menjadi penaja dengan syarat Fara menjadi jurucakap barangan keluaran syarikat tersebut. Wakil penaja, Hisyam, ditugaskan untuk mengatur aktiviti Fara. Anehnya Hisyam bersikap acuh tidak acuh terhadap Fara. Fara tidak berpuas hati dan memberitau Sanju mahu menarik diri dari menjadi jurucakap penaja. Din JJ mengambil kesempatan untuk mengambil alih tempat Fara.
Setelah mengetahui hati budi Hisyam, Fara mula terpikat pada Hisyam. Sejak itu Fara menjadi lebih ceria dan positif. Anehnya Hisyam terus tidak berani meluahkan perasaannya. Fara akhirnya dapat menerima hakikat bahawa Hisyam sudah dimiliki dan dia cuba menjalani kehidupannya seperti biasa. Hisyam memperkenalkan teman wanitanya Diana yang juga merupakan peminat Fara.
Diana merupakan anak gadis majikan Hisyam. Atas pengaruh Diana, majikan Hisyam telah menaja segmen Panas FM yang dikendalikan Fara dan Din JJ. Hisyam pula terpaksa sentiasa berurusan dengan warga Panas FM. Sanju mendapat arahan pihak pengurusannya supaya bekerjasama dengan Hisyam. Maka Sanju menyuruh Fara bersikap professional. Fara cuba mengawal perasaannya ketika mengendalikan segmen Hisyam.
Pengurusan Panas FM mengumumkan pembelian saham dari bapa Diana. Diana mula menerajui stesen itu. Diana mengarah Sanju memecat Din JJ yang dianggap tidak menepati imej stesen yang mahu diubahnya. Fara dan Jimmy mempertahankan Din JJ. Namun, Diana kemudian mahu memecat Fara dan Jimmy. Sanju terpaksa bersemuka dengan Hisyam dan menyuruh Hisyam memujuk Diana agar tidak melakukan tindakan yang akan menjejaskan Panas FM.
Adakah Diana akan terima pujukan Hisyam ataupun hubungan mereka akan terjejas? Apakah hubungan Fara dengan Hisyam akan menjadi lebih erat? Bagaimana pula warga Panas FM melayan karenah Diana yang berlagak seperti bos?
Untuk mengetahui kesudahannya pastikah anda tidak ketinggalan menyaksikan aksi-aksi lucu Fara dan warga Panas FM setiap Selasa jam 10.00 malam mulai 11 November, hanya di TV3.