SI CAPIK MULAI 12 MEI 2009, SETIAP SELASA, JAM 9.00 MALAM DI TV2
Bermacam cara digunakan untuk menyuntik semangat serta motivasi dalam diri seseorang. Namun tidak semudah itu ianya berjaya diterima dan sekaligus meninggalkan impak yang berkesan dalam diri. Justeru dalam usaha cuba menyemai nasihat dan menyuntik motivasi menerusi drama-drama menarik yang disiarkan menerusi saluran siarannya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 12 Mei 2009 ini menyiarkan drama bersiri terbaharu, Si Capik yang menjanjikan plot cerita berbeza kerana mengetengahkan watak seorang remaja kurang upaya sebagai pelakon utama berbanding drama-drama lain yang meletakkan nilai komersil mahu pun pakej hero ‘sempurna’ sebagai keutamaan dan penggerak cerita.
Si Capik disiarkan setiap Selasa, jam 9.00 malam di TV2 ini membariskan pelakon terkenal seperti Datuk Aziz Singah, Raja Noor Baizura, Sheera Iskandar, Riz Amin, Fathil Dani, Aznah Hamid, Hetty Sarlene, Ery Putra dan Zach X Factor, drama bersiri 13 episod terbitan Skop Production Sdn Bhd.
Si Capik memaparkan kisah seorang jejaka dikenali sebagai Reza yang sering digelar Si Capik, gara-gara ketidaksempurnaan sifatnya yang mengalami kecacatan sebelah kakinya. Namun kecacatan sebelah kakinya. Namun kecacatan tidak menghalang Reza untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar kolej yang cemerlang dalam akademik.
Sayu melihat kecekalan ayahnya, Malik yang kurang sihat mencari rezeki menguatkan semangat Reza untuk berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasibnya sekeluarga. Dalam pada itu Reza bernasib baik kerana memiliki dua orang teman rapat, Farish dan Mira yang banyak membantunya malah cukup memahami keadaan dirinya.
Semangat cekal Reza menghadapi penghinaan masyarakat terutama pelajar-pelajar di kolejnya mendapat sokongan penuh Farish dan Mira yang tidak jemu-jemu untuk membelanya. Mira amat bersimpati dan cukup prihatin dalam permasalahan yang dihadapi Reza.
Hari demi hari kesihatan Malik semakin terganggu apatahlagi dirinya disahkan doktor menghidap penyakit jantung. Tuan Hazim majikannya menyarankan supaya Malik menjalani pemeriksaan doktor pakar dan kosnya ditanggung oleh pihak syarikat.
Zahid pula menghabiskan masanya setiap hari dengan berfoya-foya tanpa menghiraukan nasihat kedua ibu bapanya. Zahid tidak mengendahkan teguran bapanya, Tuan Hazim yang melarangnya berpoya-poya di kelab malam dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Sementara itu, Reza gembira apabila menerima panggilan telefon dari datuk dan neneknya di kampung yang amat merinduinya.
Sherin teman sekuliah mereka mengajak Mira, Farish dan Reza untuk mengadakan ‘study group’ di rumahnya. Namun Reza keberatan untuk menyertainya kerana merasakan dirinya tidak layak untuk belajar bersama anak majikan bapanya.
Lalu bagaimanakah seterusnya perjalanan hidup Reza? Mampukah dia bertahan dan meneruskan kehidupan seperti insan biasa dan mengecap kejayaan dalam hidupnya? Untuk mengetahui kesudahan drama bersiri penuh konflik suka duka ini menerusi Si Capik disiarkan setiap Selasa, jam 9.00 malam di TV2.