in , ,

Drama Bersiri Terbaru Atas Nama Cinta

PAPARAN CINTA TIGA SEGI DAN PENGORBANAN

Menyusuli Gemersik Kalbu, drama bersiri terbaru ‘Atas Nama Cinta’ terbitan Zeel Production telah disiarkan mulai 13 Februari 2012 menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

Diarahkan oleh Raja Ahmad Alaudin, drama bersiri 24 episod tersebut membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Shahrizal Jaszle, Fiza Halim, Shah Iskandar, Tasha Shilla, Aida Aris, Wan Shade, Roy Azman, Ainina Ahmad B, Azzam Iop Hisham dan Nina Emelyn Khai.

Tasha Shilla sebagai Balqis

Saiful telah mengikut ayahnya, Ahmad pulang ke kampung halaman Ahmad untuk melarikan diri daripada pemiutang-pemiutang. Di sana, Saiful telah berkawan baik dengan Cinta, seorang budak perempuan yang sering dibuli budak-budak kampung. Ahmad yang kuat berjudi membuat onar dengan mencuri wang simpanan ibu Cinta, Zahara dan menghilangkan diri.

Walaupun masih kecil dan keseorangan, Saiful nekad mencari Ahmad di Kuala Lumpur malah dia terpaksa membawa bersama Cinta yang mahu mengikutnya mencari Zahara di Kuala Lumpur. Cinta yang tidak berapa sihat diserang sakit dan Saiful menjadi panik. Mujurlah mereka dibantu Sulaiman dan Cinta dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sulaiman yang sedang mencari anak angkat untuk menggantikan Ghazali berkenan dengan Saiful. Begitu juga dengan isteri Sulaiman, Rima yang menganggap Saiful sebagai Ghazali. Dalam usaha untuk mendapatkan hak penjagaan Saiful, Sulaiman menawarkan sejumlah duit kepada Ahmad. Tanpa memikir panjang, Ahmad terus bersetuju dengan syarat Sulaiman.

Sebelum bertolak ke Australia, Saiful diberitahu oleh Sulaiman tentang berita kematian Cinta. Dengan hati yang berat, Saiful mengikut Sulaiman, Rima dan adik angkatnya, Balqis memulakan kehidupan baru di bumi asing.

Selepas 15 tahun, Saiful yang kini dikenali sebagai Ghazali (Shah Iskandar) telah berjaya sebagai seorang pensyarah muzik dan pemain biola terkenal antarabangsa. Cinta (Fiza Halim) kini seorang penuntut diploma seni halus menetap bersama ibu saudaranya, Mastura selepas Zahara meninggal dunia.

Balqis (Tasha Shilla) mengejar Ghazali dan mendambakan cinta lelaki yang juga abang angkatnya itu. Sulaiman dan Rima juga mendesak Ghaz agar bertunang dengan Balqis tetapi Ghaz hanya menganggapnya sebagai seorang adik.

Cinta berkenalan dengan Tengku Farish (Shahrizal Jaszle), rakan baik Ghazali ketika mengikuti pameran seni halus di Australia. Tengku Farish terpikat dengan Cinta dan sering membawa Cinta bersiar-siar di sekitar bandar Perth. Hubungan mereka menjadi rapat sehinggalah satu malam Tengku Farish membawa Cinta untuk menonton persembahan Ghazali.

Ghazali tersentak dan teringat kepada Cinta yang dikenali pada waktu kecil. Mungkinkah Cinta yang sudah mati kini hidup kembali? Ghazali yang masih rindu dan sayang kepada Cinta terpaksa menyimpan perasaannya kerana tidak sanggup mengkhianati kawan baiknya, Tengku Farish yang turut menyukai Cinta. Balqis pula sanggup melakukan apa sahaja untuk menawan hati Ghazali.

Apakah kesudahan bagi kemelut cinta antara Ghazali, Cinta, Tengku Farish dan Balqis? Jangan lupa saksikan drama Atas Nama Cinta menerusi slot AKASIA, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam di TV3! Penonton yang terlepas menyaksikan Atas Nama Cinta boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Shah Iskandar sebagai Saiful & Ghazali

Fiza Halim sebagai Cinta

Tasha Shilla & Shahrizal Jaszle

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Avril Lavigne Didakwa Mabuk di Konsert Black Star Malaysia

Suria FM Lancar Logo & Tema Lebih Ceria