Membariskan pelakon utama Memey Suhaiza sebagai Aliyah, Syed Aiman (Aidil) dan Beego (Firdaus), drama rantaian 26 episod terbitan Bright Network Sdn Bhd bertajuk “Pulang Sayang” menjadi taruhan terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menyajikan drama bersiri terbaik menerusi salurannya.
Kisah cinta dan konflik keluarga melatari drama bersiri turut dibintangi pelakon Mustapha Kamal (Yusof), Wan Norazlin (Syarifah Sofea), Adibah Yunos (Laila), Firr Affandi (Azman), Idris Mat Diah (Kamil), Raja Ema (Afifah), Linda Hashim (Ainul), Syatilla Melvin (Dhia) dan Zila Bakarin (Datin Ju) menemui penonton mulai 23 September depan, setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.00 malam di TV2.
Pulang Sayang mengisi slot Selekta Prima ini mengisahkan dilema di hadapi lelaki pertengahan usia bernama Yusof yang bimbang dengan sikap sambil lewa anak lelaki keduanya Aidil dalam menguruskan perniagaannya. Aidil lebih suka berpoya-poya dan menyerahkan semua tugas pejabat kepada beberapa orang bawahannya termasuk Aliyah, jurutera syarikat serta menantunya, Azman. Melihat kebolehan Aliyah melaksanakan tugas, Aidil semakin lepas tangan. Yusof tidak ada pilihan selain menyerahkan tugas pengurusan dan kewangan kepada Azman. Sementara menanti kepulangan anak lelaki sulungnya Firdaus, yang kini sedang menuntut di UK, Yusof memberi sepenuh kepercayaan kepada Aliyah untuk melaksanakan banyak tugas-tugas operasi dan pelaksanaan projek.
Aliyah menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Begitu juga dengan Azman dan Laila. Namun isteri Yusof, Sharifah Sofea sentiasa tidak puas hati dengan Azman dan memandang rendah kebolehannya. Syarifah Sofea juga tidak begitu merestui perkahwinan anak perempuan tunggalnya Laila dengan Azman. Azman hanya berkelulusan sederhana dan berasal dari kampung pula. Azman berasa tertekan dengan sikap ibu mertuanya dan cuba mencari jalan keluar.
Aliyah tidak menyenangi sikap Aidil yang suka berseronok-seronok dengan ramai teman wanita. Aidil juga pernah cuba mengajak Aliyah keluar tetapi Aliyah enggan. Aliyah bersikap tegas dan tidak memberi muka kepada Aidil. Aidil pula dalam diam menghormati sikap dan kebolehan Aliyah. Walaupun Aliyah bersikap dingin kepadanya tetapi Aidil tetap bersikap gentleman baik sewaktu bekerja atau perkara lainnya terhadap Aliyah. Ini menyebabkan teman wanita Aidil, Dhia selalu mengesyaki Aliyah. Aliyah menafikan dia ada hubungan dengan Aidil.
Kepulangan Firdaus,anak sulung Yusof mengubah senario syarikat. Firdaus seorang yang tegas dan mempunyai sifat yang amat bertentangan dengan Aidil. Jika Aidil seorang yang suka berseronok,Firdaus pula amat serius terhadap tugasnya. Jika Aidil seorang yang romantik dan gentleman, Firdaus pula seorang yang kasar dan berterus terang. Dia tidak pandai berdiplomasi dan suka menegur orang bawahan secara direct. Kadangkala kata-katanya menyakitkan hati, tetapi Firdaus tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.
Aliyah mendapati agak sukar bekerja dengan Firdaus pada mulanya. Aliyah diarahkan bertugas dibawah Firdaus memandangkan kedua-duanya jurutera dan dalam bidang yang sama. Namun sikap Firdaus agak bossy dan perfectionist membuatkan Aliyah rimas dan berasa dikongkong. Saat ini Aliyah teringat betapa mudahnya bekerja dengan Aidil, walaupun Aidil sambil lewa tetapi Aidil tidak pernah mengongkong dan mempersoalkan tugas-tugasnya. Berbeza dengan Firdaus yang mahu Aliyah memaklumkan apa sahaja tugas dan tindakannya kepadanya. Sehingga hal-hal yang kecil pun mesti diberitahu kepadanya.
Aliyah cuba bersikap tegas kepada Firdaus seperti yang dilakukan kepada Aidil, tetapi Firdaus lebih tegas lagi. Namun ketegasan Firdaus memang kena pada tempat dan biasanya tepat serta membuahkan hasil yang lebih baik. Cuma Aliyah tidak tahan dengan cara Firdaus yang kasar dan kadangkala menjengkelkan.
Namun Aliyah tidak pernah mahu mengalah. Dia tidak pernah merungut di depan Firdaus, malah menerima apa sahaja arahan tanpa bantahan.Namun sesekali Firdaus tersilap dan Aliyah ada peluang untuk mengenakan Firdaus semula. Firdaus mengaku jika dia membuat silap dan sedia menerima tunjuk ajar Aliyah yang lebih berpengalaman dalam bidang kejuruteraan.
Takdir menentukan Firdaus jatuh cinta pada Aliyah. Namun sebaliknya Aliyah pula mula menerima cinta Aidil yang mula berubah sikap menjadi lelaki budiman setelah berlaku kemalangan yang membabitkan mereka berdua. Situasi itu membuatkan Firdaus putus asa dan menjauhkan diri daripada Aliyah.
Aliyah akhirnya berkahwin dengan Aidil namun dalam diam ibu mentuanya merancang niat jahat mahu mengenakan Aliyah dek kerana dendam lamanya yang masih bersarang terhadap ibu Aliyah. Pelbagai insiden di rancang supaya hasratnya memusnahkan masa depan anak musuhnya itu tercapai.
Bahagia di harapkan tidak berpanjangan bila Aidil kemudiannya berubah sikap kepada perangai lamanya yang suka berpoya-poya. Aliyah begitu tertekan dengan situasi itu. Muncul Firdaus yang bersimpati terhadap nasih menimpa Aliyah.
Lalu bagaimanakah kesudahan babak demi babak mengupas rahsia yang akhrinya terbongkar satu persatu ini? Dapatkah Aliyah memperbaiki semula keadaan dan merapatkan semula hubungan ibu dengan ibu mentuanya yang bermusuhan sejak sekian lama? Di penghujung cerita siapakah lelaki yang berjaya meyakinkan Aliyah bahawa cinta sejati itu sememangnya wujud?