Dato Syed Alwi Syed Hassan telah pun meninggal dunia semalam. Semoga ruh diberkati Tuhan Yang Maha Esa. Walaupun jasadnya telah tiada di bumi Malaysia, namun namanya tetap bersemadi sebagai seorang pejuang seni sastera bangsa. Al fatihah.
Baca BELASUNGKAWA: Perginya ‘Tok Perak’!
BELASUNGKAWA (29/3/1930 – 30/11/2008
Allahyarham Dato Syed Alwi Syed Hassan, 78, bukanlah seorang tokoh teater, drama dan sasterawan dalam pengertian biasa. Beliau adalah tokoh sastera, lain dari yang lain. Dua perkara yang tidak pernah diabaikan oleh Seniman Negara ini setiap kali berkarya ialah realiti sosial dan bangsa Melayu. Dua perkara ini telah menjadi identiti tokoh teater ini dan ini adalah asas sekali gus membezakan karya beliau dengan orang lain.
Biar pun mendapat pendidikan formal dalam bidang teater di Amerika Syarikat tetapi Syed Alwi tidak pernah terpengaruh dengan budaya luar untuk diserapkan dalam teater tempatan. Di kalangan penggiat teater, Syed Alwi ialah “Tok Perak” yang kental dengan jiwa Melayunya.
Jiwa Melayu yang ada pada Syed Alwi cukup tebal. Warna-warna kehidupan kampung yang pernah dilalui di tempat kelahirannya di Pondok Tanjung, Perak selalu terbawa-bawa dalam naskah yang dihasilkan. Antara naskah teragungnya ialah Alang Rentak Seribu dan Tok Perak. Kedua-duanya telah menjadi naskah klasik dalam dunia sastera kita (genre drama pentas) dan memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1973 (Alang Rentak Seribu) dan 1974 (Tok Perak).
Bukan saja popular dan mendapat tempat di hati penggiat teater tapi Alang Rentak Seribu dan Tok Perak cukup istimewa kerana berjaya membawa jiwa Melayu di tengah-tengah kota di mana ia dipentaskan. Jiwa Melayu yang ditonjolkan di sebuah kampung kecil di Perak dilakukan dengan begitu halus dan sempurna sekali.
Banyak ragam orang Melayu di dalam penceritaan naskah-naskah beliau terutamanya sifat orang kampung yang lurus bendul, bodoh sombong, berterus terang, melenting, mengamuk serta melatah dan gemar mengusik. Tapi itulah keistimewaan Syed Alwi. Beliau berjaya membawa cerit kampung ke bandar dan masih ramai yang tidak jemu mengikuti cara penceritaan Syed Alwi. Disebabkan faktor ini, pementasan Tok Perak terakhir yang dibuat Syed Alwi pada bulan Jun tahun ini akan meninggalkan 1001 kenangan dan memori indah bagi famili, sahabat dan peminat teater.
Walaupun intipatinya hampir sama, nada yang ingin disampaikan pada pementasan kali ini jauh berbeza. Tajuknya sahaja sudah diubah ke Tok Perak: Yang Mencari dan Menanti. Teater Tok Perak terbaru ini disampaikan lebih sinis oleh Syed Alwi, mengisahkan tentang seorang penjual ubat yang muncul semula selepas 34 tahun hilang dan melihat pergolakan sosial dan politik secara kritis. Walaupun corak penceritaannya lain tetapi tetap relevan pada masa sekarang. Watak Tok Perak lebih matang setelah merdeka lima puluh tahun merdeka dan ingin berkongsi hikmat dan nikmat zahir batin kepada manusia abad 21.
Tok Perak masih dipaparkan Syed Alwi sebagai penjual ubat, berjaja dari tempat ke tempat di seluruh negara dan melihat berbagai perkara. Bermacam kisah menghalang kegiatannya dan berbagai macam manusia menentang tingkah lakunya, membantah kata-katanya hingga dia ditangkap dan dihukum kerana mengacau dan mengganggu ketenteraman awam.
Tapi itulah Tok Perak – penuh dengan drama walaupun sudah berusia, selalu sinis dalam perlakuan dan tutur kata. Dan selalu pengamatan beliau tidak pernah tersasar! Sungguhpun sentuhan baru Tok Perak tetap hebat dan klasik dan ramai memuji dan melahirkan kekaguman, namun Allahyarham pernah melahirkan terkilannya kerana tidak berjaya mementaskannya di Istana Budaya seperti yang dihasratkan.
Sekadar di pentas Dewan Bahasa dan Pustaka yang difikirkan ‘layak.’ Mungkin kini penyesalan berpanjangan bagi mereka yang tidak memberi izin?
Nama ‘Tok Perak’ itu sendiri cukup sinonim dengan Syed Alwi sehingga beliau turut dipanggil dengan gelaran itu. Karya yang mengisahkan si penjual ubat ini pernah dipentaskan sebanyak dua kali pada tahun 70’an. Kali pertama di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada tahun 1975, di mana watak penting itu dipegang sendiri oleh Syed Alwi dan kali kedua di tempat yang sama pada tahun 1979.
Setiapkali Tok Perak dipentaskan, ianya dianggap berjaya kerana penonjolan watak yang semacam keliru dengan diri sendiri tetapi lurus bendul mendorong khalayak ketawa. Inilah pemerhatian halus Syed Alwi terhadap ragam bangsanya. Dan inilah yang membuat naskahnya memukau dan tidak membosankan. Apapun naskah Melayu yang dihasilkannya, Syed Alwi tidak pernah lupa mengutarakan pemikiran dan tindak-tanduk Melayu yang penuh santunnya.
“Orang Melayu banyak ragamnya. Suka menyindir, banyak muslihat, baik hati, pemaaf dan cepat melatah,” begitu antara kata-kata azimat Allahyarham ketika ditemubual sewaktu pementasan ‘Going North’ di KLPac satu ketika dulu. Dan Syed Alwi bijak bermain dengan sentimen ini, bermain dengan ragam manusia dan tahu apa yang perlu ditonjolkan dalam setiap watak dalam drama beliau. Yang penting, semua karektor kena real bukan artificial. Walaupun mereka berpura-pura tetapi mereka perlu nampak real apabila melakonkan watak yang saya cipta itu,” jelas Allahyarham. Dan apa pun kemelut, sifat pemaaf dan tidak berdendam, baik hati adalah keistimewaan bangsa Melayu di mata Syed Alwi.
Mungkin itulah juga sifat yang hampir dengan peribadi Syed Alwi. Bagi mereka yang pernah singgah di hatinya seperti kaum famili dan sahabat karib pelakon/pengarah Rohani Yusoff, Zaibo, Datuk Faridah Merican dan ramai lagi, Syed Alwi orangnya unik.
Gaya hidupnya yang suka menyendiri untuk mencari inspirasi banyak membuahkan hasil-hasil yang membanggakan. Yang dipentingkan ialah kehidupan seharian mesti selalu dikelilingi masyarakat dan sastera Melayu. Allahyarham juga telah menghasilkan beberapa buah skrip serta turut menerima anugerah budaya daripada negara United States, Malaysia, Sweden, Australia, France dan Yugoslavia. Pada 2002 beliau telah menerima Anugerah Seni Negara daripada Kerajaan Malaysia.
Tokoh drama kelahiran Pondok Tanjung, Perak ini dilahirkan pada 29 March, 1930 dan mendapat latihan profesional di sebuah University of Minnesota dalam Jurusan Ijazah Seni Teater dan Penulisan. Beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan buat sementara waktu sebelum menyambung kembali pembelajarannya di London Film School. Syed Alwi kembali ke Malaysia dan menceburkan diri dalam bidang industri hiburan termasuklah bidang penerbitan, pengarahan, pengajar dan juga pelakon.
Sebagai dramatis Syed Alwi mula bergiat dengan drama Inggeris pada tahun 1950-an. Antara drama beliau dalam bahasa Inggeris yang terkenal ialah Going North, the More We Get Together dan Day of Efil. Bagaimanapun apabila beliau beralih menghasilkan drama-drama Melayu, drama-dramanya telah mendapat perhatian dan kritikan yang cukup menarik.
Atas segala sumbangan besar Allahyarham pada dunia teater, sastera dan negara, belaiu telah menerima Anugerah Seni Negara pada tahun 2002. Allahyarham yang juga pengasas Kumpulan Teater Kesenian Malaya (MATG) pada 1951, aktif mengarah serta berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and The Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.
Pemergian Syed Alwi ibarat kehilangan sebutir permata. Kata-kata hikmat beliau akan tetap menjadi teman bagi mereka yang berfikri jauh. “Diharap ribut memberi peluang keadaan dan kaedah lama diganti dengan pembawa baru supaya kita dapat berkhidmat sempurna” – antara kata-kata Tok Perak yang ‘muncul’ dalam naskah terbarunya setelah 34 tahun ‘menghilang’.
Tok Perak @ Syed Alwi adalah ikon teater Melayu moden dan seniman yang melihat dan menafsir pergolakan sosial di sekelilingnya. Selama ini, pena tajamnya selalu menulis laju dan kritis dan sinis. Kini tintanya sudah bernokhtah dan terhenti. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Sungai Serai, Kuang, pada pukul 8 malam semalam. Allahyarham meninggalkan tiga orang anak. Jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail dan disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara tengahari ini.
AL FATIHAH