in , ,

Danial Kifli Lancar Single MUSNAH, Andyoso Pertaruh Single Pendamping Hidupku

Danial Kifli Pertaruh Single Musnah, Andyoso Pula Tampil Kelainan Menerusi Single Pendamping Hidupku

Dua penyanyi muda yang penuh bakat, Danial Kifli dan Andyoso, yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Awal Muzik Entertainment, telah mempersembahkan karya terbaru mereka kepada peminat setia.

Danial, yang telah meraih populariti melalui lagu “Pergilah Cinta” dengan lebih daripada 11 juta tontonan di YouTube, kini memperkenalkan single baru bertajuk “Musnah”. Sementara itu, Andyoso mengambil langkah berani dengan mempersembahkan lagu balada berjudul “Pendamping Hidupku”.

Danial Kifli Lancar Single MUSNAH, Andyoso Pertaruh Single Pendamping Hidupku

Danial dan Andyoso, yang memiliki pakej lengkap sebagai penyanyi, sentiasa berusaha untuk memperbaharui diri demi memastikan kehadiran mereka dalam industri muzik terus relevan dan diminati ramai.

Danial menganggap “Musnah” sebagai hadiah istimewa untuk peminat setia yang telah lama menantikan kesinambungan daripada kejayaan “Pergilah Cinta”. Single “Musnah” dihasilkan bersama dengan tiga lagi rakan, iaitu Amir Hariz, Knight Cydeen, dan Hawa Zulaikha.

“Jujurnya saya takut untuk melancarkan single ini kerana ‘Pergilah Cinta’ berada pada tahap yang tinggi dan penerimaannya sangat luar biasa. Saya agak gementar untuk melihat maklum balas pendengar terhadap ‘Musnah’. Namun, Alhamdulillah, sebaik muzik video ‘Musnah’ dilancarkan di YouTube pada 21 Jun lalu, lagu ini terus trending dan kini berada di tangga ke-15. Jumlah tontonan untuk single ini juga meningkat ketara, dari sekitar 15,000 tontonan sehari untuk ‘Pergilah Cinta’ kepada 25,000 tontonan sehari untuk ‘Musnah’. Saya harap ‘Musnah’ akan diterima baik dan mencatat satu lagi sejarah baru dalam kerjaya saya sebagai pendatang baru dalam bidang ini,” ujar Danial.

Danial Kifli Lancar Single MUSNAH, Andyoso Pertaruh Single Pendamping Hidupku

Tambah Danial, kelainan yang dibawa dalam muzik video “Musnah” adalah susunan muzik yang lebih moden dan mesra untuk didengari oleh semua lapisan masyarakat. “Selain itu, saya juga cuba memantapkan vokal supaya kehadiran saya terus diterima baik. Saya tidak mahu dilabel sebagai penyanyi yang syok sendiri atau hanya bersandarkan rupa, tetapi saya mahu dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai pakej lengkap,” tambahnya.

Danial juga berharap “Musnah” dapat menembusi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL). “Semoga ‘Musnah’ ada keajaiban tersendiri dan terus diterima baik oleh peminat. Saya berharap single ini dapat pergi lebih jauh dan terus didengari, bukan saja di Malaysia tetapi juga di Indonesia, Singapura, dan Brunei. Sudah tentu saya berharap lagu ini berjaya ke pentas AJL kerana itu adalah impian setiap penyanyi,” katanya.

Danial Kifli Lancar Single MUSNAH, Andyoso Pertaruh Single Pendamping Hidupku

Sementara itu, Andyoso, atau nama sebenarnya Andika Zulkefli, yang berusia 20 tahun, teruja dengan single keduanya berjudul “Pendamping Hidupku” yang memberi peluang baru untuk dirinya meneroka genre muzik balada. Lagu “Pendamping Hidupku” adalah hasil ciptaannya bersama komposer dan penulis lirik dari Indonesia, Shoga Tan dan Ujang K. Proses rakaman lagu ini dilakukan di Indonesia selama empat hari dan menceritakan tentang seorang lelaki yang merayu kepada Tuhan untuk memiliki wanita yang dicintainya.

“Jika sebelum ini saya mempertaruhkan single bergenre pop melalui lagu ‘Setiaku 100 Peratus’, kali ini agak berbeza dan saya teruja untuk membawakannya. Walaupun genre balada masih baru untuk saya, tetapi saya tidak duduk diam, sebaliknya saya mengambil kelas vokal untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan sempurna. Alhamdulillah, penerimaan setakat ini positif dan muzik video lagu ini telah meraih lebih 140,000 tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan dilancarkan,” kata Andyoso.

Danial Kifli Lancar Single MUSNAH, Andyoso Pertaruh Single Pendamping Hidupku

Tambah Andyoso, sebagai pendatang baru, dia mengakui mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. “Saya agak pemalu, tetapi selepas membuat keputusan untuk terjun dalam bidang ini, saya cuba mengubah personaliti saya. Saya juga ingin membuktikan tanggapan netizen yang mendakwa saya hanya bersandarkan rupa wajah adalah salah. Setiap hari saya berlatih dan memasuki kelas vokal,” katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Mara, Rembau, Negeri Sembilan.

Pengarah Urusan Awal Muzik Entertainment, Saidin Nordin, meluahkan rasa syukur apabila syarikat rakaman yang ditubuhkan pada 2019 kini semakin diterima baik oleh pelbagai pihak dan berjaya meletakkan Awal Muzik Entertainment pada tahap yang membanggakan.

“Alhamdulillah, jika dulu kami kurang mendapat perhatian, sekarang Awal Muzik Entertainment mula meraih perhatian. Malah, keluarga Awal Muzik Entertainment juga telah bertambah besar dengan lebih daripada 10 artis baru di bawah syarikat rakaman ini. Saya harap dengan pelancaran single Danial dan Andyoso ini, peminat muzik akan terus mengikuti perkembangan Awal Muzik Entertainment kerana kami optimis memberi peluang kepada anak muda untuk berjaya dalam bidang yang mereka gemari,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle Ditayangkan di Pawagam